SANTAPAN KALBU

Rabu, 9 Disember 2009

BERKAT MEMBACA BISMILLAH


Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Raja Dengan Penunggang Singa


Kisah ini menceritakan tentang seorang sultan yang bernama Abu Fawaris Syah Al-Karmani. Pada suatu hari baginda keluar berburu bersama-sama dengan pengawal-pengawal baginda. Semasa baginda merayau mencari binatang buruan, tiba-tiba terlintas binatang di hadapan baginda. Tanpa membuang masa, baginda mengejar binatang tersebut sehinggalah baginda sampai ke suatu kawasan tanah lapang. Baginda tidak menyedari bahawa pengawal-pengawal tidak bersamanya semasa baginda mengejar binatang tersebut.
Sambil mencari binatang yang dikejarnya tiba-tiba muncul seorang pemuda menunggang seekor singa yang sangat besar. Bersama-samanya terdapat dua ekor singa lagi mengiringi pemuda tadi. Melihat singa-singa tersebut baginda sangat takut dan cuba hendak lari tetapi tidak berjaya kerana kakinya tidak terdaya untuk melangkah. Pemuda itu menghampiri baginda dan memberi salam. Baginda menjawab salam pemuda itu. Pemuda itu berkata "Wahai Abu Syah, kenapakah tuanku sangat lalai kepada Allah Taala, tuanku sangat mengutamakan dunia daripada akhirat, tuanku sangat kasih kepada dunia dan sangat lalai kepada Allah Taala".
Baginda sangat hairan tentang tingkah laku pemuda ini kerana semenjak baginda memerintah tiada siapa berani berkata demikian kepadanya. Baginda tidak dapat berbuat apa-apa lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Pemuda itu menyambung lagi " Tahukah tuanku bahawa dunia yang dikurniakan oleh Allah adalah sebagai suatu jalan untuk berkhidmat kepadaNya dan bukan untuk bersenang-senang sehingga melalaikan diri" Pemuda itu terus memberi nasihat pada sultan Abu Syah sehingga pemuda itu berasa penat. Tidak lama kemudian muncul seorang perempuan tua membawa secerek air dan diberikan kepada pemuda itu. Setelah selesai meminumnya pemuda itu menawarkan air itu kepada baginda seraya berkata "Minumlah air ini, ianya sungguh lazat". Baginda mengambil air itu dan terus meminunya, dan ternyata air itu sungguh lazat seperti yang dikatakan oleh pemuda itu. Selesai minum baginda menyerahkan kembali cerek air itu kepada perempuan tadi dan tiba-tiba perempuan tadi ghaib dengan sekelip mata.
Baginda sungguh hairan melihat keajaipan yang berlaku lalu bertanya kepada pemuda itu "Siapakah perempuan itu, sungguh ajaib sekali ia muncul dengan tiba-tiba dan hilang juga dengan sekelip mata sahaja". Sambung baginda lagi "Katakan kepada ku siapakah perempuan itu dan ke manakah dia pergi?". Pemuda itu menjawab "Dia telah kembali ke tempat asalnya" Baginda tidak faham apa yang dikatakan oleh permuda itu. "Beritahulah siapa sebenarnya perempuan itu" kata baginda. Pemuda itu menjawab "Dia adalah dunia, yang dijelmakan oleh Allah untuk memberi khidmat kepada ku dan dia akan muncul pada bila-bila masa apabila aku memerlukanya" Pemuda itu berkata lagi " Tidakkah tuanku mendengar Allah berfirman yang bermaksud wahai dunia, sesiapa yang berkhidmat kepada ku, hendaklah kau berkhidmat kepadanya dan siapa yang berkhidmat kepada mu, maka tunggangilah dia".
Selepas berkata-kata pemuda itu terus berlalu dari situ. Sultan Abu Syah masih lagi terpaku disitu seoleh-olah tidak percaya apa yang telah berlaku dan adakah ia sedang bermimpi. Tidak lama kemudian, pengiring-pengiring Sultan Abu Syah datang mencari baginda. Semenjak dari peristiwa itu Sultan Abu Syah memikirkan apa yang berlaku dan tidak lama kemudian Sultan Abu Syah turun dari takhta dan menyerahkan pemerintahan kepada saudaranya. Baginda telah bertaubat dan terus mengembara untuk lebih mengenali Allah sehinggalah baginda menjadi hamba yang soleh.

SENYUM LA SIKIT....

Selasa, 8 Disember 2009

Salam semua...
Pagi-pagi aku harap korang semua ceria dengan kesibukan kerja masing-masing.. Jangan ler tension sangat hehehe.. apa-apa pun cuba layan sebentar cerita ni..

KISAH ORANG ASLI

Dr.Kadir seorang botanis telah menghabiskan masanya bertahun-tahun dalam hutan Borneo. Kerana terlalu lama bersama Orang Asli, dia mula fasih akan bahasa mereka.


Sebelum berangkat pulang ke bandar, Dr. Kadir didatangi oleh ketua Orang Asli yang ingin belajar bahasa Melayu.

Sambil berjalan botanis itu mula mengajar. Jarinya menunjuk kepada sepohon pokok.

"Ini pokok," kata Dr Kadir.

"Pokok,"ikut Ketua Orang Asli.

Kemudian mereka berdua berjalan menuju ke arah batu besar di sebelah pokok itu.

"Ini batu."

"Batu,"kata ketua Orang Asli.

Tiba-tiba...

mereka terdengar bunyi benda bergerak dari dalam semak berhampiran.

Mereka berdua menghampirinya dan ternampak sepasang anak muda sedang menunggang basikal.

"Menunggang basikal,"kata Dr. Kadir menunjuk ke arah pasangan itu.

Lalu ketua Orang Asli mengangkat senapangnya dan menembak pasangan itu.

Melihat kejadian itu, Dr Kadir terkejut. Tidak pernah dalam hidupnya menyaksikan perlakuan sekejam itu.

"Kenapa bunuh mereka?" jerit Dr. Kadir.

"Basikal aku!!" kata ketua Orang Asli itu.



LAWAK NAK PINJAM DUIT

Melihat kawannya, Jojo sejak tadi asyik termenung, Din pun mendekatinya.


Din: Apa hal ni, macam ada masalah aja.

Jojo: Aku tengah bengang dengan si Raman tu.

Din: (dengan terkejut bertanya) Raman? Kenapa pulak?

Jojo: Tak taulah aku apa yang dibuat dengan duit dia tu. Semalam tak ada duit, hari ni pun tak ada duit,

Din: Laa..dia nak pinjam duit dengan engkau ke?

Jojo: Tak, aku yang nak pinjam..(katanya sambil tersengih-sengih).

MISTERI MALAM JUMAAT

Salah sebuah katil di bilik ICU sebuah hospital ternama kerap berlaku kejadian pelik. Setiap pesakit yang ditempatkan di situ pasti meninggal pada setiap hari Jumaat.


Perkara ini sangat membingungkan para doktor. Lalu mereka memutuskan untuk memantau katil tersebut.

Kesemua doktor memegang surah Yasin sebagai persiapan menghalau makhluk halus.

Masa berputar...pukul 8.00 pagi! 8.30..9.00 tiba-tiba..pintu bilik ICU terbuka. Doktor membongkokkan diri masing-masing di bawah katil. Tiba-tiba muncul Mak cik Bedah, pekerja sambilan sebagai pencuci yang hanya bertugas setiap hari Jumaat.

Wanita tua itu mendekati katil keramat tersebut...dan terus mencabut soket elektrik yang membekalkan tenaga kepada alat pernafasan bantuan. Dia kemudian memasukkan soket baru untuk menghidupkan vacuum cleanernya.

FIKIR SEJENAK



Salam semua. Kali ni aku nak kongsi dengan korang semua satu cerita yang bagi pendapat aku boleh kita renungkan sejenak sambil berfikir isi kandungan yang telah disampaikan oleh cerita ini. Aku harap korang semua mendapat sedikit hikmah daripada cerita ini.

CERITA 1

Pada suatu ketika seorang lelaki datang menemui ulama bernama Sofyan. Selain arif dalam bidang agama.Sofyan juga bijak dalam bidang perubatan.

"Wahai Sofyan, aku menderita penyakit jauh daripada Allah. Tolonglah berikan aku ubat penyembuhnya,"rayu lelaki tersebut.
Balas Sofyan,"Wahai saudaraku, hendaklah kau mengambil beberapa biji buah keikhlasan, daun-daun kesabaran dan perahan kesabaran hati. Letakkan semuanya itu dalam wadah ketakwaan, lalu kau tuangkannya ke dalam cairan rasa takut, kemudian adunkan ia dengan api kesedihan.
"Setelah itu, kau saringlah ia dengan saringan kewaspadaan dan ambil ramuan itu dengan tangan kejujuran, lalu minumlah daripada gelas istighfar yang telah dicampurkan dengan air kesolehan. Sesudah itu jauhkanlah dirimu daripada rakus dan serakah, insya-Allah engkau akan sembuh dari penyakitmu itu."



CERITA 2



Suatu pagi, seorang guru berdiri di hadapan kelas sambil mengangkat segelas air. Dia bertanya kepada murid-muridnya; "Cuba kamu teka, berapa berat gelas ini?"


Jawab murid yang duduk di hadapan kelas: "50 gram, cikgu!"

Guru tersebut tersenyum. "Yang lain?" sooalnya.

"Saya rasa mungkin 100 gram," jawab seorang pelajar perempuan.

Bangun pula seorang pelajar lelaki di tengah-tengah kelas, "Jawapannyan mesti antara 50 hingga 500 gram.

Siapakah yang berjaya memberi jawapan yang betul? Adakah berat gelas itu 200 gram? 300 gram? 410 gram? atau 100 gram?

Jawab gurunya, "Jawapan kamu mungkin betul dan mungkin juga salah!

Sebenarnya, berat segelas air ini tidak begitu penting sebab ianya bergantung kepada berapa lama kamu memegangnya.

"Jika kamu pegang gelas ini satu minit, tak jadi masalah. Kalau satu jam, tangan kamu akan sakit. Sehari! Kamu perlu diusung ke ambulans." Ketawa murid-muridnya mendengar kata- kata guru itu.

Sambung guru tersebut; "Murid-murid sekalian... berat segelas air ini takkan berubah tapi semakin lama kamu memegangnya, ia akan menjadi semakin berat.Apa yang patut kamu lakukan ialah letakkan gelas itu ke bawah, rehat beberapa minit dan sambungnya kembali.

"Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Jika kita ada masalah, selesaikannya secepat mungkin. Kalau kita masih gagal menyelesaikannya, rehat sebentar. Lupakan masalah itu untuk seketika.

"Jangan terlalu memikirkannya kerana ia akan menyebabkan fikiran kita tidak tenang dan terganggu. Ketenangan amat penting sebelum kita memikirkan masalah itu kembali."

RENUNG-RENUNGKAN

Ahad, 6 Disember 2009

KISAH AJAL SEORANG LELAKI

Pesan orang tua-tua maut jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Tapi manusia ini macam-macam perangai, ada juga yang 'bingung' dan suka mencari maut, misalnya...




Suatu petang pada 1883, Henry Ziegland yang sedang berehat di rumahnya di Honey Grove, Texas, Amerika Syarikat telah diserang oleh abang bekas kekasihnya. Lelaki tersebut meluru ke arah Ziegland dan..BANGGG! dia melepaskan tembakan. Ziegland tumbang, mukanya dipenuhi darah. Penyerangnya itu kemudian membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri.



Selepas hening beberapa ketika, Ziegland tiba-tiba bangun. Rupa-rupanya dia cuma cedera ringan. Peluru tersebut hanya mengguris muka Ziegland kemudian menyasar ke pangkal sebatang pokok di belakangnya.



Lebih 30 tahun berlalu dan pada 1913, pokok berkenaan kini terlalu besar dan tinggi. Ia perlu ditumbangkan kerana menyesakkan halaman rumah Ziegland. Sebiji dinamit diikat pada pangkalnya dan...



DDAAAMM!! Satu letupan kuat kedengaran. Tiba-tiba peluru yang telah tiga dekad terbenam dalam batang pokok berkenaan terpelanting ke arah Ziegland. Dia rebah ke tanah dengan sebutir peluru-yang sepatutnya membunuhnya 30 tahun lalu- terbenam dikepala!

PANADOL BERACUN


Salam all,

Just nak share... ...information ......
Betul-betul sakit.....baru makan panadol tau.......
Maklumat ini dikirim oleh salah seorang rakan email ku.
Betul atau tidak wallahualam...
Sekurang-kurangnya ianya boleh menjadi maklumat untuk kita semua.
Kalau ada pakar dalam ubat-ubatan yang terbaca post aku nie.. sudi-sudikan lah bagi pendapat yang boleh dikongsi bersama. Banyak sangat aku mengomel ni. Ok lah, bunyinya begini....

PANADOL MERBAHAYA



JANGAN AMBIL & PANADOL ACTIFAST / SOLUBLE LAGI (TERUTAMA MEREKA YANG ADA GASTRIK)
UNTUK PENGETAHUAN,



ikuti sebuah kenyataan benar dari seorang yang mengalaminya…



“Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. . Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.
Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak.



Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman..
Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.



Panadol adalah sejenis “painkiller”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.



Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?



Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang “biasa” ini ke dalam mulut anda.

BERTEMU CLASSMATE DARJAH 6 DALAM FB

Jumaat, 4 Disember 2009
Sekitar jam lebihkurang 4pm kalau tak salah aku, sedang aku asyik melayan facebook tetiba jer dapat satu jemputan daripada classmate lama aku sewaktu bersekolah di dalam darjah 6 dulu. Hehehe.. tak sangka dia masih cam lagi muka aku walaupun dah dewasa dan badan agak berisi sikit. Bayangkan lah.. hampir 26 tahun tak pernah berjumpa. Subhanallah...... Bashariah namanya.. bila aku tengok dalam senarai rakannya, ada sorang lagi classmate aku dulu. Fouziah namanya. Sekarang masing-masing dah besar panjang hehehe.. masing-masing dah punyai keluarga.. Sejurus itu juga terkenang kembali nostalgia sewaktu aku di sekolah rendah dulu.. hehehe.. banyak peristiwa lucu dan menyayat hati terlintas dalam kotak memori aku yang telah lama tidak bermain di dalam ingatanku. Sekarang, mereka berdua telahpun menjadi seorang Pendidik.


Kepada kedua-dua sahabat aku tu, aku ucapkan selamat menjadi seorang pendidik bagi melahirkan anak bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Teruskanlah usaha guru-guru kita dahulu yang tak pernah jemu dan bosan mendidik kita hingga kita menjadi seorang rakyat Malaysia seperti sekarang. Jasa sebagai seorang guru sesungguhnya amat bernilai. Di kesempatan ini juga aku doakan agar semua guru-guruku yang pernah mendidik kami dahulu semoga sentiasa sihat dan dirahmatiNya hendaknya. Kepada yang telah tiada lagi di dunia yang fana ini, aku doakan agar roh mereka dicucuri rahmat olehNya. Jasa guru-guruku semua akan tetapku kenang dan sanjungi hingga ke akhir perjalanan ku di dunia ini.

PERLANCARAN BLOG

Alhamdulillah, setelah bertanya dengan Puan Yu bagaimana cara untuk membuat blog sendiri, akhirnya pada tarikh 04 Disember 2009 aku berjaya menghasikan blog yang tak seberapa ini. Kepada Puan Yu, setinggi-tinggi perhargaan dan jutaan terima kasih atas khidmat nasihat dan penerangan yang diberikan.

Siapa Aku??

Foto saya
Silalah klik (Lihat profil lengkap saya)